Friday, July 18, 2014

Que Haidar bakal ke Palestin!

  • Que ketika bertemu pihak Aman Palestin.Que ketika bertemu pihak Aman Palestin.
 1 / 1 
NASIB rakyat Palestin yang dipaparkan di media massa cukup meragut perasaan seluruh umat Islam di dunia ini. Namun, apa yang mampu kita lakukan hanya berdoa dan terus berdoa agar penderitaan mereka berakhir.

Sebagai insan biasa mana mungkin kita mampu melawan serangan yang dilakukan. Hanya iringan doa dan sumbangan sahaja yang dapat dihulurkan.

Aktor Que Haidar turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa umat Islam di Palestin. Baginya, sebagai manusia, sesiapa sahaja akan terkesan dengan peristiwa itu.
Atas alasan itu, Que mencari jalan bagaimana untuk memperjuangkan nasib mereka.

"Setiap hari saya melihat apa yang berlaku kepada mereka di televisyen, surat khabar dan Internet. Saya pun ada anak dan isteri, apabila melihat anak-anak kecil dan wanita di sana dibunuh, dikejami dan mati setiap hari, ia benar-benar menyedarkan saya.

"Sebab itu, saya fikir apa lagi boleh kita lakukan untuk membantu mereka," katanya kepada Zass.

Akui suami kepada Linda Jasmine ini, dia mendapat tahu mengenai Aman Palestin menerusi Maulana AF8.

"Saya masih ingat Maulana pernah ke Palestin dahulu, jadi saya hubungi dia bertanya mengenai mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu.

"Alhamdulillah, dia cadangkan Aman Palestin dan telah mengaturkan satu mesyuarat mengenai perkara ini," katanya telah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut malam kelmarin.

Menerusi pertemuan itu, persetujuan telah dicapai dan Que bersedia membantu  NGO tersebut.

"Mereka bercadang membawa saya ke sana dan sebenarnya itulah tujuan utama saya," kata pemilik nama Tengku Iskhan Shah ini.

Beri kesedaran

Menurut pelakon Rock Ooo ini, sebagai selebriti dia berharap dapat menyedarkan masyarakat supaya bersama-sama menolong apa yang termampu.

Baginya meskipun doa dan sumbangan yang dihulurkan amat bermakna, tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.

"Apa lagi yang boleh dibuat untuk membantu mereka? Rasanya kita cukup bertuah dapat hidup di bumi Malaysia. Bayangkan di bulan Ramadan ini, kita dapat bersahur, berbuka puasa, bertarawih dan tidur dengan cukup selesa.

"Sebaliknya mereka di sana, hendak makan pun belum tentu, inikan pula tidur yang sentiasa bertemankan serangan Israel," katanya.

Jelas pelakon berusia 35 tahun ini, sekembali dari Palestin, dia berharap dapat memberi talk perjuangan Palestin kepada rakyat Malaysia.

"Mungkin saya boleh berkongsi pengalaman di sana dengan mereka, dengan cara ini saya yakin mereka pasti lebih terbuka membantu daripada aspek mental dan fizikal kepada rakyat di sana," ujarnya sedang bercuti dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni sepanjang Ramadan.

0 comments:

Post a Comment