Wednesday, July 23, 2014

Bayi sembilan bulan, ibu maut kemalangan

  • Wajah comel Nurul Hannan ketika hayatnya. (Gambar kecil) Wajah kemesraan Helizam bersama Allahyarham Farah Natasha.Wajah comel Nurul Hannan ketika hayatnya. (Gambar kecil) Wajah kemesraan Helizam bersama Allahyarham Farah Natasha.
 1 / 1 
KUALA KUBU BHARU - “Saya sempat pegang-pegang, usap cucu sambil sembang dengan bapanya masa jumpa di pakir Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum berurusan di kaunter.

“Tapi tak sampai setengah jam saya terima panggilan seorang lelaki menggunakan telefon anak saya mengatakan mereka terbabit kemalangan dan cucu saya meninggal dunia,” kata Mohamad Ibrahim, 70, bapa mangsa kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan di Jalan Ampang Pecah kira-kira jam 4 petang semalam.

Sejurus itu, Mohamad bergegas ke lokasi kejadian berdekatan selekoh menuju Darul Quran, Jakim, dekat sini dan mendapati menantunya, Helizam Ali Nafiah, 27, yang tersepit di tempat duduk pemandu sedang diselamatkan.

Manakala, anaknya Farah Natasha Mohamad, 27, dan cucunya, Nurul Hannan, 9 bulan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Belum reda dengan berita itu, Mohamad sekali lagi dikejutkan apabila anak tunggal daripada isteri keduanya itu disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di wad kecemasan.

Difahamkan, Helizam mengalami kecederaan parah di mana patah kedua-dua belah kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Selayang.

Rancang beraya di kampung

“Kami memang nak bincang untuk beraya dengan keluarga. Anak-anak yang dari luar negara juga sedang bercuti untuk sama menyambut Aidilfitri di kampung, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Tapi ALLAH SWT sudah takdirkan begini, mereka pergi di bulan penuh barakah,” katanya.

Persiapan raya sudah dibuat

Sementara itu, ibu saudara Helizam yang dikenali sebagai Kak Maya berkata, besar kemungkinan segala persiapan menyambut Aidilfitri yang berbaki lima hari sudah disiapkan sepenuhnya memandang bayi terbabit merupakan anak sulung mangsa.

“Saya sudah dapat bayangkan mereka sudah membuat persiapan dan sudah beli keperluan anak sulung mereka.

“Lagi pun Farah Natasha perbaharui lesen sebab tarikh tempoh lesen tamat pada bulan kelahirannya bulan ini. Jadi mereka sudah siapkan lebih awal,” katanya.

Menurut Kak Maya, ibu Farah Natasha baru meninggal dunia Jumaat lalu dan jenazah Farah Natasya serta anaknya akan dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Desa Kaloi.

Manakala, kakak Farah Natasha, Nurlina Mohamad, 41, dia pulang ke Malaysia semata-mata untuk menyambut Aidilfitri bersama seluruh keluarganya.

Bagaimanapun, dia terkejut setelah menerima panggilan mengatakan anak buahnya maut dalam kemalangan jalan raya.

“Ayah hubungi kata nak datang ke Ampang, Kuala Lumpur untuk berbuka di sana, tapi 10 minit lepas itu makcik pula hubungi katakan Natasya kemalangan dan bayi meninggal dunia.

“Lepas dapat berita itu kami terus ke sini. Saya sampai saja di unit kecemasan HKKB doktor beritahu Natasya sudah meninggal dunia dan tak sempat dirujuk ke Hospital Sungai Buluh,” katanya.

Dibawa menaiki van ke HKKB

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), A Rajoonaidu berkata, ketika kejadian beliau kebetulan melalui kawasan itu dan terlihat mangsa menahan kesakitan dan terus membawanya menaiki van beliau.

“Saya nampak dia sudah keluar kenderaan dan masa itu ada seorang jururawat dan saya minta tolong dia.

“Saya tak fikir panjang masa itu cuma mahu selamatkan dia saja,” katanya ketika ditemui di HKKB.

Dalam pada itu, Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong ketika melawat keluarga mangsa di Unit Forensik HKKB juga turut menghulurkan bantuan kewangan untuk pengurusan jenazah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob ketika dihubungi  Sinar Harian mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan mengenai punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Sumber : Sinar

0 comments:

Post a Comment